Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan

Thursday, June 18, 2015

Bersama para solihin di bulan Ramadhan.

2:00 AM

Share it Please
Ramadhan!

Musim bunga kepada seluruh ummat Islam tanpa dibatasi umur, jantina mahupun pangkat. Semua saling berkejaran mengecapi ganjaran yang dijanjikan Allah s.w.t. melalui Rasul-Nya yang mulia. Catatan sejarah para Ulama dan Salaf As-Soleh memberikan kita gambaran bahawa Ramadhan adalah sebuah bulan yang selalu dinanti-nantikan.

Bersama Al-Quran.

Lihat sahaja kepada kisah Imam Syafie r.hm. Beliau berusaha sedaya mampu untuk menamatkan bacaan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan sebanyak enampuluh kali tamat, bahkan bilangan tersebut tidak termasuk bacaan beliau di dalam solat sepanjang bulan Ramadhan.

Bahkan, sebahagian Salaf As-Soleh menamatkan bacaan Al-Quran mereka di dalam bulan Ramadhan sebanyak tiga hari sekali, sebahagian yang lain menamatkan tujuh hari sekali dan sepuluh hari sekali. Yang lebih menakjubkan, Saidina Uthman r.hu menamatkan bacaan Al-Quran sebanyak sekali sehari.

Perbuatan mereka ini bersandarkan kepada perbuatan Nabi s.a.w., apabila tiba bulan Ramadhan, Nabi s.a.w. akan berTadarus bersama malaikat Jibril a.s. sebanyak sekali setahun. Dan Nabi s.a.w. mengulangi Tadarus bersama Jibril a.s. sebanyak dua kali pada tahun yang diwafatkan Baginda s.a.w..

Membaca dengan ‘Hati’.

Para Salaf As-Soleh bukan semata-mata berkejaran mengejar kuantiti bacaan mereka, bahkan mereka membuka hati-hati mereka untuk menghayati dan merenungi setiap ayat yang mereka ulangi.

Siapa yang tidak mengenali Saidina Umar r.hu, Khalifah Ar-Rasyid yang kedua di dalam sejarah Islam, seorang yang disegani oleh kawan mahupun lawan bahkan Syaitan tidak sekali-kali melalui jalan yang dilalui oleh Saidina Umar r.hu. Namun, Umar r.hu tetap punyai hati yang lunak, teresak-esak bila dibacakan Al-Quran kepadanya sebagai tanda hatinya hidup.

Solat Malam.

Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab r.hu, beliau telah mengarahkan dua orang sahabat untuk menjadi Imam solat malam di bulan Ramadhan iaitu Ubai bin Kaab r.hu dan Tamim Ad-Daari r.hu., mereka membacakan surah-surah yang panjang di dalam solat mereka.

Sehinggakan para Sahabat r.hum yang lain menggambarkan suasana malam-malam tersebut, mereka terpaksa untuk berkejaran untuk mendapatkan sahur bimbang terluput dek waktu subuh. Sehingga begitu sekali ibadah malam mereka dalam menghidupkan malam-malam Ramadhan.

Para Salaf As-Soleh tidak sekali-kali bertengkar akan berapakah bilangan solat malam di bulan Ramadhan, apatah lagi berbantah-bantah dalam hal tersebut. Yang menjadi keutamaan mereka adalah kualiti solat mereka.

(Ihsan Google)

Pemurah dengan kebajikan.

Ibn Abbas r.hu bersabda:“Nabi s.a.w. adalah manusia yang paling pemurah dengan kebaikan, dan Baginda s.a.w. akan bertambah pemurah bila menjelang bulan Ramadhan.” (Riwayat Bukhari)

Sufyan Al-Thauri r.hu, seorang ulama’ yang ‘Alim dan Zuhud pada zaman beliau dan merupakan guru kepada kebanyakan Ulama yang lain, begitu pemurah dalam melakukan kebajikan pada bulan Ramadhan.

Az-Zuhri r.hu, seorang ulama hadith menceritakan bahawa Sufyan Al-Thauri r.hu apabila memasuki bulan Ramadhan, beliau akan bersungguh-sungguh untuk membaca dan mantadabbur Al-Quran serta memberikan makanan kepada orang yang berpuasa.

Ada kisah yang lebih menggoncang jantung hati kita. Abdullah Ibn Umar r.huma, salah seorang ulama dalam kalangan sahabat. Beliau tidak akan berbuka puasa melainkan bersama beliau berbuka puasa golongan anak-anak yatim dan fakir-miskin.

Jauh bezanya dengan kita yang tidak akan berbuka puasa melainkan meja hidangan penuh dengan juadah yang pelbagai.

Bukan itu sahaja. Selepas Ramadhan juga, para Salaf As-Soleh tetap meraikan orang ramai. Sebagai contoh, Hammad Ibn Abu Sulaiman r.hu akan menyumbang kepada orang ramai pada hari raya sebanyak seratus dirham seorang.

Berjihad di Jalan Allah s.w.t.

Kefahaman Salaf As-Soleh bukan sebagaimana pemikiran kita pada hari ini. Apabila menjelang Ramadhan, waktu kerja dipendekkan, kerja sekolah dikurangkan. 

Alasannya, puasa!

Berbeza dengan Salaf As-Soleh, mereka menganggap bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang terbaik untuk berjihad di jalan Allah s.w.t.. Lihat sahaja hasilnya. Perang pertama di dalam Islam adalah pada bulan Ramadhan, dibuka Kota Makkah pada bulan Ramadhan, dibebaskan kota Andalus pada bulan Ramadhan, Tentera Salahuddin Al-Ayyubi mengalahkan tentera salib pada bulan Ramadhan.

Inilah bukti kepada kita Ramadhan bukan bulan yang melemahkan, bahkan Ramadhan adalah bulan yang produktif untuk meningkatkan produktiviti.

Contoh telah ada di depan mata kita, yang tinggal hanyalah bagaimana kita bersedia dalam mengaut keuntungan Ramadhan. Samada ada kita terpilih untuk Berjaya dalam madrasah Ramadhan atau sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana usaha kita dalam mengejarnya atau kita lebih selesa untuk duduk-duduk sahaja.

Abdul Hakim Othman.
12.33 pagi
26 Mac 2015

Darul Qurra.

0 comments:

Post a Comment