Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan

Wednesday, July 2, 2014

Introspeksi Kahwin Muda

12:35 PM

Share it Please
Cuti panjang bagi universiti sudah lama tiba. Notifikasi facebook, sudah mula sesak. Sesak dengan jemputan majlis walimah di sana-sini.

Dua tiga tahun ini, begitu tradisinya. Seperti menjadi 'trend', cuti universiti panjang tiba, ramai yang mula membuat keputusan untuk berkahwin.

Kini, semakin ramai anak muda memulakan alam berumahtangga ketika masih belajar (diploma atau degree). Sejujurnya, saya melihat fenomena ini, merupakan satu perkembangan yang baik di Malaysia. Tampak, ramai ibu bapa yang mula faham, kenapa perlunya permudahkan urusan perkahwinan anak-anak.

Terutamanya di zaman yang penuh dengan fitnah ini.

Namun, di sebalik fenomena yang baik ini. Mungkin ada perkara yang boleh kita muhasabah bersama.

Dalam keghairahan syoknya berkahwin muda atau seronoknya bercinta selepas kahwin ini, kadang-kadang buat kita terlepas pandang sesuatu perkara.

Iaitu, terlebih dalam menghebohkan tentang indahnya hidup berpasangan.

Ada perkara, kiranya baik untuk dihebah-hebahkan. Namun, apabila semua perkara yang indah atau 'sweet' hendak dihebah-hebahkan, ada sedikit yang kurang tepat.

Bimbang...

Kita bakal menyeksa jiwa mereka yang tidak senasib dengan kita.
Mahu berkahwin diusia muda, tapi ada sahaja halangan. Baik dari sudut kewangan, kebenaran ibu bapa, kemampuan dan sebagainya.

Sehingga agresif memulakan langkah menuju ke arahnya.

Bimbang juga...

Kerana sering kali membaca 'keindahan' yang digembar-gemburkan, ramai yang berminat untuk mendirikan rumahtangga di usia muda.

Tapi, terlupa menyemak persediaan dari sudut peranan dan tanggungjawab.

Mungkin, jalan yang terbaik, selalulah menghebahkan tentang peranan dan tanggungjawab alam rumah tangga. Bukan hanya sekadar menghebahkan tentang 'bunga-bunga cintanya' sahaja.

Agar, tiada insan yang merasakan, "indah khabar daripada rupa" setelah memasuki alam ini!

Perkahwinan itu tentang pembinaan generasi akan datang.

Perkahwinan itu, bukan hanya soal dua hati yang bercinta. Tapi ia soal pembinaan generasi akan datang!

Dalam keindahan 'bunga-bunga cinta', terselit di dalamnya sejuta tanggungjawab.

Lihatlah, bagaimana ada ulama' yang mentafsirkan kata-kata Saidina Umar al-Khattab ini :

تفقهوا قبل أن تسوّدوا

"Belajarlah, sebelum kamu memimpin"

Ulama' berselisih pendapat dalam mentafsirkan kalimah 'tasawwadu'. Dan dalam penulisan kali ini, saya memilih makna 'tasawwadu' yang ditakrifkan sebagai 'berkahwin'.

"Belajarlah kamu sebelum berkahwin. Kerananya, kamu akan menjadi ketua keluarga. Boleh jadi ia (berkahwin) menjadi penghalang kamu daripada sibuk menuntut ilmu."

Maka, yang jahil akan terus dengan kejahilannya.

Antara saranan yang boleh disimpulkan daripada kata-kata ini;

Pertama, saranan menuntut ilmu atau membuat persediaan sebelum melangkah ke alam ini.
Kedua, cukuplah, kata-kata ini ingin menggambarkan kepada kita, bahawa dalam perkahwinan ini, terselit berjuta peranan dan tanggungjawab.

Buatlah persediaan dari sudut Ilmu. Ilmu asas sebagai seorang Muslim. Ilmu memilih calon suami dan isteri. Ilmu menjadi isteri/suami soleh-solehah. Ilmu menjadi seorang ibu/ayah mithali dan sebagainya.

Persediaan dari sudut ekonomi.
Persediaan dari sudut emosi dan fizikal.
Persediaan dari sudut masa.
Persediaan dari sudut pengurusan rumahtangga.
Dan pelbagai persediaaan lain...

Hakikatnya, persoalan nikah kahwin merupakan satu ketentuan daripada Allah. Persis kematian. Kita tidak tahu bila, tapi ia pasti akan hadir.

Begitulah perkahwinan, kita tidak tahu bila waktunya. Tapi, insyaAllah saatnya pasti akan tiba.

Sentiasalah membuat persediaan ke arahnya.

Semoga Allah memberkati rumahtangga yang dibina, insyaAllah.

0 comments:

Post a Comment