Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan

Friday, July 4, 2014

Fatwa;Adakah diwajibkan puasa bagi wanita yang mengalami Haid/Nifas kurang daripada tempoh kebiasaan?

Berikut adalah terjemahan Fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh Muhammad Ibn Soleh Ibn Uthaimin r.hu.


Soalan 1.

Adakah wajib keatas orang yang nifas untuk berpuasa dan solat jika sekiranya dia bersih sebelum 40 hari?

Jawapan;

Ya, bila seseorang bersih daripada nifas sebelum 40 hari maka wajib keatasnya untuk berpuasa jika dia berada dalam bulan ramadhan, dan wajib keatasnya untuk solat, dan harus bagi suaminya untuk menyetubuhinya, kerana dia telah suci dan tiada lagi padanya perkara yang menghalang daripada berpuasa dan perkara yang menghalang daripada kewajipan solat serta keharusan bersetubuh.

Soalan 2.

Jika sekiranya seorang wanita pada kebiasaannya, putaran bulanannya 8 hari atau 7 hari, kemudian dia mengalami sekali atau dua kali keadaan lama daripada kebiasaan, apakah hukumnya?

Jawapan;

Jika sekiranya kebiasaan (putaran haid) seseorang wanita 6 hari atau 7, kemudian bertambah tempoh ini kepada 8 atau 9 atau 10 atau 11 hari, sesungguhnya dia kekal untuk tidak solat sehinggalah suci, ini kerana Nabi s.a.w. tidak menetapkan had yang tertentu pada tempoh haid, Firman Allah s.w.t. [Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid, katakanlah: " Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudharat".] -Al-Baqarah:222-. Dan ketika mana darah ini masih ada, maka wanita tersebut kekal dalam keadaannya sehinggalah dia suci dan dia mandi wajib kemudian dia solat. Sekiranya dia didatangi (haid) pada bulan seterusnya kurang daripada bulan sebelum, maka dia perlu mandi wajib sekiranya dia telah suci walaupun ia tidak menepati kebiasaan yang lalu. Yang penting, seseorang perempuan ketika mengalami haid, maka dia tidak wajib solat samaada tempoh haid tersebut bertepatan dengan kebiasaan yang lalu, atau bertambah, mahupun berkurang. Dan sekiranya dia suci maka perlulah solat.

Sumber;
http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_16919.shtml , Soalan ketiga & keempat..

Segala pembetulan amat dialu-alukan.

Terjemahan;
Abdul Hakim bin Othman.
5 Ramadhan 1435 hijrah
3 Julai 2014 masehi
No comments

Wednesday, July 2, 2014

Introspeksi Kahwin Muda

Cuti panjang bagi universiti sudah lama tiba. Notifikasi facebook, sudah mula sesak. Sesak dengan jemputan majlis walimah di sana-sini.

Dua tiga tahun ini, begitu tradisinya. Seperti menjadi 'trend', cuti universiti panjang tiba, ramai yang mula membuat keputusan untuk berkahwin.

Kini, semakin ramai anak muda memulakan alam berumahtangga ketika masih belajar (diploma atau degree). Sejujurnya, saya melihat fenomena ini, merupakan satu perkembangan yang baik di Malaysia. Tampak, ramai ibu bapa yang mula faham, kenapa perlunya permudahkan urusan perkahwinan anak-anak.

Terutamanya di zaman yang penuh dengan fitnah ini.

Namun, di sebalik fenomena yang baik ini. Mungkin ada perkara yang boleh kita muhasabah bersama.

Dalam keghairahan syoknya berkahwin muda atau seronoknya bercinta selepas kahwin ini, kadang-kadang buat kita terlepas pandang sesuatu perkara.

Iaitu, terlebih dalam menghebohkan tentang indahnya hidup berpasangan.

Ada perkara, kiranya baik untuk dihebah-hebahkan. Namun, apabila semua perkara yang indah atau 'sweet' hendak dihebah-hebahkan, ada sedikit yang kurang tepat.

Bimbang...

Kita bakal menyeksa jiwa mereka yang tidak senasib dengan kita.
Mahu berkahwin diusia muda, tapi ada sahaja halangan. Baik dari sudut kewangan, kebenaran ibu bapa, kemampuan dan sebagainya.

Sehingga agresif memulakan langkah menuju ke arahnya.

Bimbang juga...

Kerana sering kali membaca 'keindahan' yang digembar-gemburkan, ramai yang berminat untuk mendirikan rumahtangga di usia muda.

Tapi, terlupa menyemak persediaan dari sudut peranan dan tanggungjawab.

Mungkin, jalan yang terbaik, selalulah menghebahkan tentang peranan dan tanggungjawab alam rumah tangga. Bukan hanya sekadar menghebahkan tentang 'bunga-bunga cintanya' sahaja.

Agar, tiada insan yang merasakan, "indah khabar daripada rupa" setelah memasuki alam ini!

Perkahwinan itu tentang pembinaan generasi akan datang.

Perkahwinan itu, bukan hanya soal dua hati yang bercinta. Tapi ia soal pembinaan generasi akan datang!

Dalam keindahan 'bunga-bunga cinta', terselit di dalamnya sejuta tanggungjawab.

Lihatlah, bagaimana ada ulama' yang mentafsirkan kata-kata Saidina Umar al-Khattab ini :

تفقهوا قبل أن تسوّدوا

"Belajarlah, sebelum kamu memimpin"

Ulama' berselisih pendapat dalam mentafsirkan kalimah 'tasawwadu'. Dan dalam penulisan kali ini, saya memilih makna 'tasawwadu' yang ditakrifkan sebagai 'berkahwin'.

"Belajarlah kamu sebelum berkahwin. Kerananya, kamu akan menjadi ketua keluarga. Boleh jadi ia (berkahwin) menjadi penghalang kamu daripada sibuk menuntut ilmu."

Maka, yang jahil akan terus dengan kejahilannya.

Antara saranan yang boleh disimpulkan daripada kata-kata ini;

Pertama, saranan menuntut ilmu atau membuat persediaan sebelum melangkah ke alam ini.
Kedua, cukuplah, kata-kata ini ingin menggambarkan kepada kita, bahawa dalam perkahwinan ini, terselit berjuta peranan dan tanggungjawab.

Buatlah persediaan dari sudut Ilmu. Ilmu asas sebagai seorang Muslim. Ilmu memilih calon suami dan isteri. Ilmu menjadi isteri/suami soleh-solehah. Ilmu menjadi seorang ibu/ayah mithali dan sebagainya.

Persediaan dari sudut ekonomi.
Persediaan dari sudut emosi dan fizikal.
Persediaan dari sudut masa.
Persediaan dari sudut pengurusan rumahtangga.
Dan pelbagai persediaaan lain...

Hakikatnya, persoalan nikah kahwin merupakan satu ketentuan daripada Allah. Persis kematian. Kita tidak tahu bila, tapi ia pasti akan hadir.

Begitulah perkahwinan, kita tidak tahu bila waktunya. Tapi, insyaAllah saatnya pasti akan tiba.

Sentiasalah membuat persediaan ke arahnya.

Semoga Allah memberkati rumahtangga yang dibina, insyaAllah.
No comments