Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan

Wednesday, June 25, 2014

Faedah-faedah Ibadah Puasa; Sultanul Ulama' Izz Ibn Abdul Salam r.hm.

11:21 AM

Share it Please
Ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah suatu ibadah yang diperintahkan keatas setiap mu'min yang mukallaf. Tanpa mendalami hikmah dan faedah puasa sekalipun, kita tetap wajib melaksanakan perintah ini, namun, ia tidak menafikan untuk kita sebagai ummat yang sentiasa diperintahkan untuk berfikir tentang kebesaran Allah s.w.t. untuk meneliti dan mengkaji rahsia yang tersirat di sebalik perintah yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. ke atas kita.

Imam Izz bin Abdul Salam as-Sulami r.hm (meninggal pada tahun 660 hijrah) yang digelar sebagai Sultanul Ulama, seorang Ulama bermazhab Syafie, berasal daripada Damsyik, Syiria (Syam), berpindah dan menetap di Mesir dan meninggal dunia di sana. Seorang yang zuhud, warak, 'alim, tawadu' dan memiliki kefasihan dalam tutur kata. Beliau banyak menulis buku-buku dalam pelbagai bidang termasuk Tafsir, Usul Fiqh, Qawa'id Fiqhiyyah, Tasawwuf dan lain-lain. Semoga Allah merahmati Sultanul Ulama' Izz bin Abdul Salam r.hm. (Sumber:Syeikh al-Izz bin Abdul Salam, Dr. Ali Muhammad as-Solabi) 

Dalam satu risalah kecil karangan Sultanul Ulama yang diberi tajuk "Maqasid as-Siyam.". Beliau r.hm menggariskan 10 bab sebagai himpunan kepada "Maqasid Siyam" (Tujuan ibadah Puasa). Entri ini hanya memuatkan secara ringkas bab yang kedua yang telah digariskan oleh Beliau r.hm di dalam kitabnya iaitu "Faaedah-faedah daripada puasa."


"Maqasid as-Siyam" cetakan Darul Fikr,Dimasyq

Imam Izz bin Abdul Salam r.hm meletakkan 7 faedah daripada puasa: 

1. Meningkatkan darjat. 
2. Menghapuskan dosa. 
3. Mengekang nafsu syahwat.
4. Membanyakkan sedeqah. 
5. Memperkasakan ketaatan. 
6. Mensykuri tuhan yang maha mengetahui segala perkara yang tersembunyi. 
7. Menghalang daripada lintasan maksiat dan kesalahan. 

1. Meningkatkan Darjat. 

Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya; 

"Apabila datang bulan Ramadhan, maka dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu syaitan." (Riwayat Bukhari & Muslim) 

"Dibuka segala pintu Syurga" bermaksud gambaran yang menunjukkan banyaknya ketaatan yang menyebabkan terbuka pintu-pintu Syurga. 

"Ditutup segala pintu neraka" bermaksud gambaran yang menunjukkan kurangnya kemaksiatan yang menyebabkan pintu-pintu neraka tertutup. 

"Dibelenggu segala syaitan" bermaksud gambaran yang menunjukkan terputusnya gangguan syaitan(Was-was) terhadap orang yang berpuasa kerana mereka tidak termakan dengan tipu daya syaitan ke arah kemaksiatan. 

Di dalam sebuah hadis Qudsi, Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: 

"Setiap amalan anak adam itu adalah baginya kecuali puasa. Sesungguhnya ia terpulang kepada-Ku dan Aku yang membalasnya. Puasa itu perisai, dan apabila seseorang kamu berada pada hari puasa, maka janganlah ia mencarut dan berkelahi. Sekiranya ada orang mencacinya dan memusuhinya, hendaklah ia berkata, sesungguhnya aku sedang berpuasa. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada dalam genggaman-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah pada hari kiamat kelak. Bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan ketika bertemu dengan Tuhannya, ia bergembira dengan puasanya." (Riwayat Muslim) 

"Setiap amalan anak adam ialah baginya kecuali puasa. Sesungguhnya ia terpulang bagi-Ku dan Aku yang membalasnya"  Allah s.w.t. menyandarkan puasa kepada-Nya bagi menunjukkan Idhafah Tasyrif (sandaran untuk memuliakan). 

Hal ini kerana ibadah puasa tidak boleh ada perasaan riyak kerana ia ibadah yang tersembunyi. Rasa lapar dan dahaga tidak dijadikan kaedah mendekatkan diri kepada mana-mana raja di dunia, bahkan tidak dijadikan kaedah mendekatkan diri kepada berhala. 

"Dan Aku yang membalasnya" bermaksud sekalipun Allah s.w.t merupakan Tuhan yang membalas kepada semua amalan ketaatan, namun maksudnya adalah untuk membesarkan ganjaran puasa kerana Dia yang berkuasa menyempurnakannya. 

"Puasa itu perisai" bermaksud puasa merupakan benteng daripada azab Allah. 

▪ Perkataan ar-Rafath dalam hadis bermaksud percakapan yang keji. 

▪ Perkataan as-Sakhab bermaksud perkelahian. 

"Ia hendaklah menjawab, sesungguhnya aku berpuasa" bermaksud memperingatkan dirinya sendiri bahawa ia sedang berpuasa dan menjauhi daripada menyerupai atau melawan(orang yang mencacinya). 

"Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah pada hari kiamat" bermaksud ada perkataan yang mahzuf (tidak disebut tetapi difahami maksunya iaitu: perkataan ثواب yang membawa maksud pahala. 

"Dua kegembiraan" bermaksud pertama kerana ia diberi taufik untuk menyempurnakan ibadah dan kedua kerana ganjaran daripada Allah s.w.t. sekiranya Allah menghendaki ganjaran untuknya. 

Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, maksudnya; 

" Setiap amalan anak adam itu digandakan, satu kebajikan digandakan 10 kali hingga 700 kali ganda. Allah berfirman 'kecuali puasa, sesungguhnya terpulang kepada-Ku, dan Aku yang membalasnya kerana(orang yang berpuasa) itu meninggalkan syahwat dan makanannya semata-mata kerana Allah." (Riwayat Muslim) 

"Meninggalkan syahwat dan makanannya semata-mata kerana aku" bermaksud orang yang berpuasa tatkala dia mengutamakan ketaatan kepada Tuhan berbanding ketaatan kepada nafsunya dalam keadaan nafsunya yang kuat dan akan mengalahkan hawa nafsunya. Allah s.w.t. memberi balasan bahawa ganjaran puasa terpulang kepada-Nya. Sesiapa yang mengutamakan Allah, pasti Allah akan mengutamakannya. Maka seseorang hamba akan berada di kedudukan yang mulia disisi Allah. 

Justeru, sesiapa yang berniat untuk melakukan maksiat, kemudian meninggalkannya kerana takutkan Allah, pasti Allah akan berkata malaikat al-Hafazah (yang menjaga amalan manusia); Tulislah baginya satu kebaikan, kerana dia meninggalkan nafsu syahwatnya kerana takutkan Aku iaitu "semata-mata kerana Aku." 

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya; 

" Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang dinamakan ar-Rayyan, yang mana orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat, dan tiada seseorang pun yang boleh masuk bersama mereka. Diseru, di manakah orang-orang yang berpuasa? Lantas mereka pun masuk melalui pintu tersebut. Apabila orang yang terakhir daripada kalangan mereka masuk, pintu tersebut ditutup, maka tiada seorang pun dapat masuk melaluinya (selepas itu)." (Riwayat Muslim) 

Dalam hadis yang lain, maksudnya; 

"Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ar-Rayyan, yang diseru kepada orang yang berpuasa. Sesiapa yang berpuasa akan masuk melaluinya dan sesiapa yang melaluinya, pasti tidak akan berasa haus selama-lamanya." (Riwayat Tirmizi) 

▪ Mereka dikhususkan masuk syurga melalui pintu ar-Rayyan kerana keistimewaan yang ada dalam ibadah mereka serta kemuliaan ibadah puasa. 

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya; 

"Sesungguhnya orang yang berpuasa, didoakan oleh para malaikat ke atasnya, jika dimakan (ada yang makan) di sisinya sehingga mereka selesai." (Riwayat Tirmizi) 

"Didoakan oleh para malaikat ke atasnya, jika dimakan (ada yang makan) di sisinya sehingga mereka selesai." bermaksud sesungguhnya dia meninggalkan makanan dalam keadaan dia bersama-sama dengan orang lain (yang tidak berpuasa) adalah suatu perbuatan yang sangat menunjukkan kekuatan menahan nafsu. 

Oleh itu, mereka berhak mendapat doa daripada para malaikat ke atas orang yang berpuasa agar mendapat rahmat dan keampunan.


2. Menghapuskan Dosa

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya;

“Bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan menjadi penghapus kepada dosa di antara kedua-duanya selama mana dijauhi dosa besar.” (Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya;

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, pasti diampunkan baginya dosa yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

▪ Makna penuh keimanan adalah beriman sepernuhnya dengan kewajipan puasa dan Ihtisab adalah beribadat semta-mata mengharapkan ganjaran daripada Allah s.w.t.

3. Mengekang Nafsu Syahwat

Maksud mengekang nafsu syahwat ialah lapar dan dahaga boleh mematahkan syahwat kea rah maksiat. Demikian juga sabit hadis sahih daripada Nabi s.a.w. bahawa Baginda s.a.w. bersabda, maksudnya;

“Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu daripada kalangan kamu al-Ba’ah, maka berkahwinlah. Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan melindungi kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa. Sesungguhnya padanya (puasa) ada al-Wija’ (Benteng).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

▪ Al-Ba’ah ialah perkahwinan.

Al-Wija’ ialah memecahkan dua telur (Kasi) haiwan jantan.

Rasulullah s.a.w. membuat perumpamaan peranan puasa yang mengekang nafsu syahwat seperti memukul kedua-dua telur (Kasi) haiwan jantan untuk mengekang syahwatnya.

Dalam hadis yang lain, maksudnya;

“Sesungguhnya syaitan mengalir dalam tubuh anak adam melalui saluran darah.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

▪ Maka sempitkanlah tempat laluannya dengan rasa lapar.

4. Membanyakkan sedeqah

Oleh sebab seseorang yang berpuasa itu berasa lapar, ia mengingatkan dirinya kepada kelaparan, maka ia menggesanya untuk memberi makan kepada orang-orang yang lapar.

Bak pepatah Syair menyebut;

“Maka sesungguhnya hanya orang yang rindu mengasihi mereka yang dirindui.”

Diceritakan bahawa Nabi Sulaiman a.s. atau Nabi Yusuf a.s. tidak akan makan bersama dengan mereka yang mempunyai hubungan dengannya, lalu ditanyakan kepada mereka, lantas mereka menjawab;

“Aku takut apabila aku kenyang, aku akan melupakan mereka yang kelaparan.”

5. Memperkasakan Ketaatan.

Dengan berpuasa, seseorang itu akan mengingati kelaparan dan dahaga ahli neraka, maka dengan mengingatai itu semua mereka bersegera meperbanyakkan kebaikan untuk menyelamatkan dirinya daripada neraka.

6. Mensyukuri nikmat Allah s.w.t. tuhan yang mengetahui segala yang tersembunyi.

Apabila seseorang itu berpuasa, dirinya akan merasai kenikmatan yang dikurniakan Allah s.w.t. kepadanya, samaada kekenyangan mahupun kepuasan (Hilang dahaga). Maka mereka mensyukuri semua itu. Sesungguhnya sesuatu kenikmatan itu tidak dapat dinilai kadarnya melainkan apabila nikmat itu hilang.

7. Menghalang daripada lintasan kemaksiatan dan kesalahan.

Apabila nafsu seseorang itu kenyang, ia akan (mudah) menjuruskan diri kepada kemaksiatan dan cenderung untuk melakukan kesalahan. Dan apabila nafsu merasakan kelaparan dan dahaga, nafsu akan segera mencari makanan dan minuman. Kecenderungan nafsu untuk mencari makanan dan minuman jauh lebih baik daripada sibuk mencari kemaksiatan dan kesalahan.

Oleh yang demikian, Sebahagian Salafus Soleh meletakkan puasa sebagai ibadah utama berbanding ibadah-ibadah lain. Mereka ditanyakan tentang hal tersebut, mereka menjawab “Kerana Allah s.w.t. mengetahui tentang nafsuku. Keadaan nafsuku yang mengajak aku kepada makan dan minum lebih aku sukai untuk diketahui oleh-Nya berbanding keadaan nafsuku yang mengajak aku kepada kemaksiatan ketika aku kenyang.”

Sesungguhnya puasa itu mempunya faedah yang terlalu banyak, seperti kesihatan mental, kesejahteraan tubuh badan.

Dalam sebuah hadis menyebut;

“Berpuasalah, pasti kamu sihat.” (Riwayat Tabarani, Iraqi menyebut bahawa hadis ini Dhaif)

Antara kemuliaan puasa; sesiapa yang memberi makan kepada orang berpuasa (untuk berbuka), baginya ganjaran sebagaimana ganjaran orang yang diberikan makan itu.

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya;

“Sesiapa yang memberi makanan untuk orang berbuka puasa, maka ia akan mendapat (ganjaran) sepertimana ganjaran orang yang berpuasa tanpa mengurangkan sedikit pun ganjaran orang berpuasa tersebut.” (Riwayat Tirmizi)

Sesiapa yang memberi makan 36 orang yang berpuasa pada setiap tahun, seolah-olah di telah berpuasa sepanjang tahun. [Pentahqiq: Kerana setiap kebaikan itu menyamai 10 kebaikan]. Bahkan, sesiapa yang membanyakkan memberi makan kepada orang yang berpuasa dengan niat ini, Allah akan menulis baginya pahala puasa bertahun-tahun lamanya.

Dan antara kemuliaan puasa juga adalah sesiapa yang membangunkan puasa dengan penuh keimanan dan bersungguh-sungguh (Mengharapkan redha Allah), akan diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.
Sabda Nabi s.a.w., maksudnya;

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, pasti diampunkan baginya dosa yang telah lalu.”  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tamat.

Mohon kepada yang membaca, sekiranya ada pembetulan yang perlu, boleh terus sampaikan pada pencatat. muslim_9319@yahoo.com

*Risalah ini telah pernah diterjemah oleh al-Fadhil Ustaz Nik Abdul Rahim bin Nik Abdul Ghani dan telah diterbitkan oleh Telaga Biru dengan tajuk Nikmatnya Puasa.

Semoga Allah memanfaatkan bacaan ini. 

Catatan.
Abdul Hakim Othman
Darul Qurra’.
25 Jun 2014.
27 Sya’ban 1435.


0 comments:

Post a Comment