Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan

Friday, November 2, 2018

YANG MENARIK TENTANG SIRAH ADAM UNTUK ANAK-ANAK

Mencari buku yang baik untuk anak-anak.

Mencari idea untuk bercerita sambil mengajar nilai-nilai yang baik kepada anak-anak daripada sirah Para Nabi.

Ini jawapannya, admin berkongsi satu buku yang disusun khas untuk anak-anak dan ibu bapa.



Apakah keistimewaan buku Sirah Adam?

📚 Inspirasi daripada buku Sirah Adam karangan Dr. Solah Abdul Fattah al-Kholidi.

📚 Jalan cerita berpandukan al-Quran dan Hadis.

📚 Bukan sekadar cerita. Turut memberi tumpuan kepada nilai-nilai yang perlu diserapkan dalam kehidupan.

📚 Bahasa yang ringkas dan mudah difahami.

📚 Ilustrasi yang menarik dan sesuai dengan jalan cerita.

📚 Pelbagai aktiviti menarik untuk anak-anak.

📚 Peta cerita pada setiap permulaan bab.
Memudahkan ibubapa/pendidik bercerita sipnopsis berpandukan gambar.
Untuk memudahkan anak-anak mengingat jalan cerita dengan cepat dan berkesan.

📚 Siri bimbing untuk ibubapa/pendidik pada belakang buku.

Buku Sirah Adam sesuai untuk

✔ Bacaan sendirian anak-anak yang boleh membaca sehingga peringkat sekolah rendah.

✔ Juga sesuai untuk ibubapa/pendidik membaca bersama anak-anak kecil.

✔ Bedtime story untuk anak-anak.

.

Order dibuka.
wasap.my/601120934970/sirahadam
No comments

Wednesday, October 31, 2018

10 perkara romantik yang mungkin kita tidak sangka Nabi buat..

#AsamGaram Rumahtangga Rasulullah.

10 perkara romantik yang mungkin kita tidak sangka Nabi buat... atau mungkin kita sendiri belum pernah buat.
.
.
1.Biarkan pasangan sikat rambut.

2.Biarkan pasangan yang kenakan wangian.

3.Berkongsi gelas, bahkan letak mulut di tempat yang sama.

4.Berkongsi makanan, bahkan gigit di tempat yang sama.

5.Berdua-duaan dengan kenderaan.



6.Kesat air mata pasangan yang menangis dengan tangan sendiri.

7.Mempersilakan pasangan untuk duduk di kenderaan dahulu.

8.Tidur di riba pasangan.

9.Tidur satu selimut.

10.Mandi bersama-sama.
.
.
Babak romantik Nabi main lumba lari dengan Sayidatina Aisyah rasa-rasanya semua orang tahu kan?
.
Dalam senarai di atas, mana yang saudara tidak sangka? Kongsikan.😙
.
.
#AsamGaram Rumah Tangga Nabi
#UstazMLM

Petikan daripada fb Muhammad Luqman Makhtar
No comments

Thursday, June 18, 2015

Bersama para solihin di bulan Ramadhan.

Ramadhan!

Musim bunga kepada seluruh ummat Islam tanpa dibatasi umur, jantina mahupun pangkat. Semua saling berkejaran mengecapi ganjaran yang dijanjikan Allah s.w.t. melalui Rasul-Nya yang mulia. Catatan sejarah para Ulama dan Salaf As-Soleh memberikan kita gambaran bahawa Ramadhan adalah sebuah bulan yang selalu dinanti-nantikan.

Bersama Al-Quran.

Lihat sahaja kepada kisah Imam Syafie r.hm. Beliau berusaha sedaya mampu untuk menamatkan bacaan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan sebanyak enampuluh kali tamat, bahkan bilangan tersebut tidak termasuk bacaan beliau di dalam solat sepanjang bulan Ramadhan.

Bahkan, sebahagian Salaf As-Soleh menamatkan bacaan Al-Quran mereka di dalam bulan Ramadhan sebanyak tiga hari sekali, sebahagian yang lain menamatkan tujuh hari sekali dan sepuluh hari sekali. Yang lebih menakjubkan, Saidina Uthman r.hu menamatkan bacaan Al-Quran sebanyak sekali sehari.

Perbuatan mereka ini bersandarkan kepada perbuatan Nabi s.a.w., apabila tiba bulan Ramadhan, Nabi s.a.w. akan berTadarus bersama malaikat Jibril a.s. sebanyak sekali setahun. Dan Nabi s.a.w. mengulangi Tadarus bersama Jibril a.s. sebanyak dua kali pada tahun yang diwafatkan Baginda s.a.w..

Membaca dengan ‘Hati’.

Para Salaf As-Soleh bukan semata-mata berkejaran mengejar kuantiti bacaan mereka, bahkan mereka membuka hati-hati mereka untuk menghayati dan merenungi setiap ayat yang mereka ulangi.

Siapa yang tidak mengenali Saidina Umar r.hu, Khalifah Ar-Rasyid yang kedua di dalam sejarah Islam, seorang yang disegani oleh kawan mahupun lawan bahkan Syaitan tidak sekali-kali melalui jalan yang dilalui oleh Saidina Umar r.hu. Namun, Umar r.hu tetap punyai hati yang lunak, teresak-esak bila dibacakan Al-Quran kepadanya sebagai tanda hatinya hidup.

Solat Malam.

Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab r.hu, beliau telah mengarahkan dua orang sahabat untuk menjadi Imam solat malam di bulan Ramadhan iaitu Ubai bin Kaab r.hu dan Tamim Ad-Daari r.hu., mereka membacakan surah-surah yang panjang di dalam solat mereka.

Sehinggakan para Sahabat r.hum yang lain menggambarkan suasana malam-malam tersebut, mereka terpaksa untuk berkejaran untuk mendapatkan sahur bimbang terluput dek waktu subuh. Sehingga begitu sekali ibadah malam mereka dalam menghidupkan malam-malam Ramadhan.

Para Salaf As-Soleh tidak sekali-kali bertengkar akan berapakah bilangan solat malam di bulan Ramadhan, apatah lagi berbantah-bantah dalam hal tersebut. Yang menjadi keutamaan mereka adalah kualiti solat mereka.

(Ihsan Google)

Pemurah dengan kebajikan.

Ibn Abbas r.hu bersabda:“Nabi s.a.w. adalah manusia yang paling pemurah dengan kebaikan, dan Baginda s.a.w. akan bertambah pemurah bila menjelang bulan Ramadhan.” (Riwayat Bukhari)

Sufyan Al-Thauri r.hu, seorang ulama’ yang ‘Alim dan Zuhud pada zaman beliau dan merupakan guru kepada kebanyakan Ulama yang lain, begitu pemurah dalam melakukan kebajikan pada bulan Ramadhan.

Az-Zuhri r.hu, seorang ulama hadith menceritakan bahawa Sufyan Al-Thauri r.hu apabila memasuki bulan Ramadhan, beliau akan bersungguh-sungguh untuk membaca dan mantadabbur Al-Quran serta memberikan makanan kepada orang yang berpuasa.

Ada kisah yang lebih menggoncang jantung hati kita. Abdullah Ibn Umar r.huma, salah seorang ulama dalam kalangan sahabat. Beliau tidak akan berbuka puasa melainkan bersama beliau berbuka puasa golongan anak-anak yatim dan fakir-miskin.

Jauh bezanya dengan kita yang tidak akan berbuka puasa melainkan meja hidangan penuh dengan juadah yang pelbagai.

Bukan itu sahaja. Selepas Ramadhan juga, para Salaf As-Soleh tetap meraikan orang ramai. Sebagai contoh, Hammad Ibn Abu Sulaiman r.hu akan menyumbang kepada orang ramai pada hari raya sebanyak seratus dirham seorang.

Berjihad di Jalan Allah s.w.t.

Kefahaman Salaf As-Soleh bukan sebagaimana pemikiran kita pada hari ini. Apabila menjelang Ramadhan, waktu kerja dipendekkan, kerja sekolah dikurangkan. 

Alasannya, puasa!

Berbeza dengan Salaf As-Soleh, mereka menganggap bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang terbaik untuk berjihad di jalan Allah s.w.t.. Lihat sahaja hasilnya. Perang pertama di dalam Islam adalah pada bulan Ramadhan, dibuka Kota Makkah pada bulan Ramadhan, dibebaskan kota Andalus pada bulan Ramadhan, Tentera Salahuddin Al-Ayyubi mengalahkan tentera salib pada bulan Ramadhan.

Inilah bukti kepada kita Ramadhan bukan bulan yang melemahkan, bahkan Ramadhan adalah bulan yang produktif untuk meningkatkan produktiviti.

Contoh telah ada di depan mata kita, yang tinggal hanyalah bagaimana kita bersedia dalam mengaut keuntungan Ramadhan. Samada ada kita terpilih untuk Berjaya dalam madrasah Ramadhan atau sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana usaha kita dalam mengejarnya atau kita lebih selesa untuk duduk-duduk sahaja.

Abdul Hakim Othman.
12.33 pagi
26 Mac 2015

Darul Qurra.
No comments

Friday, July 4, 2014

Fatwa;Adakah diwajibkan puasa bagi wanita yang mengalami Haid/Nifas kurang daripada tempoh kebiasaan?

Berikut adalah terjemahan Fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh Muhammad Ibn Soleh Ibn Uthaimin r.hu.


Soalan 1.

Adakah wajib keatas orang yang nifas untuk berpuasa dan solat jika sekiranya dia bersih sebelum 40 hari?

Jawapan;

Ya, bila seseorang bersih daripada nifas sebelum 40 hari maka wajib keatasnya untuk berpuasa jika dia berada dalam bulan ramadhan, dan wajib keatasnya untuk solat, dan harus bagi suaminya untuk menyetubuhinya, kerana dia telah suci dan tiada lagi padanya perkara yang menghalang daripada berpuasa dan perkara yang menghalang daripada kewajipan solat serta keharusan bersetubuh.

Soalan 2.

Jika sekiranya seorang wanita pada kebiasaannya, putaran bulanannya 8 hari atau 7 hari, kemudian dia mengalami sekali atau dua kali keadaan lama daripada kebiasaan, apakah hukumnya?

Jawapan;

Jika sekiranya kebiasaan (putaran haid) seseorang wanita 6 hari atau 7, kemudian bertambah tempoh ini kepada 8 atau 9 atau 10 atau 11 hari, sesungguhnya dia kekal untuk tidak solat sehinggalah suci, ini kerana Nabi s.a.w. tidak menetapkan had yang tertentu pada tempoh haid, Firman Allah s.w.t. [Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid, katakanlah: " Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudharat".] -Al-Baqarah:222-. Dan ketika mana darah ini masih ada, maka wanita tersebut kekal dalam keadaannya sehinggalah dia suci dan dia mandi wajib kemudian dia solat. Sekiranya dia didatangi (haid) pada bulan seterusnya kurang daripada bulan sebelum, maka dia perlu mandi wajib sekiranya dia telah suci walaupun ia tidak menepati kebiasaan yang lalu. Yang penting, seseorang perempuan ketika mengalami haid, maka dia tidak wajib solat samaada tempoh haid tersebut bertepatan dengan kebiasaan yang lalu, atau bertambah, mahupun berkurang. Dan sekiranya dia suci maka perlulah solat.

Sumber;
http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_16919.shtml , Soalan ketiga & keempat..

Segala pembetulan amat dialu-alukan.

Terjemahan;
Abdul Hakim bin Othman.
5 Ramadhan 1435 hijrah
3 Julai 2014 masehi
No comments

Wednesday, July 2, 2014

Introspeksi Kahwin Muda

Cuti panjang bagi universiti sudah lama tiba. Notifikasi facebook, sudah mula sesak. Sesak dengan jemputan majlis walimah di sana-sini.

Dua tiga tahun ini, begitu tradisinya. Seperti menjadi 'trend', cuti universiti panjang tiba, ramai yang mula membuat keputusan untuk berkahwin.

Kini, semakin ramai anak muda memulakan alam berumahtangga ketika masih belajar (diploma atau degree). Sejujurnya, saya melihat fenomena ini, merupakan satu perkembangan yang baik di Malaysia. Tampak, ramai ibu bapa yang mula faham, kenapa perlunya permudahkan urusan perkahwinan anak-anak.

Terutamanya di zaman yang penuh dengan fitnah ini.

Namun, di sebalik fenomena yang baik ini. Mungkin ada perkara yang boleh kita muhasabah bersama.

Dalam keghairahan syoknya berkahwin muda atau seronoknya bercinta selepas kahwin ini, kadang-kadang buat kita terlepas pandang sesuatu perkara.

Iaitu, terlebih dalam menghebohkan tentang indahnya hidup berpasangan.

Ada perkara, kiranya baik untuk dihebah-hebahkan. Namun, apabila semua perkara yang indah atau 'sweet' hendak dihebah-hebahkan, ada sedikit yang kurang tepat.

Bimbang...

Kita bakal menyeksa jiwa mereka yang tidak senasib dengan kita.
Mahu berkahwin diusia muda, tapi ada sahaja halangan. Baik dari sudut kewangan, kebenaran ibu bapa, kemampuan dan sebagainya.

Sehingga agresif memulakan langkah menuju ke arahnya.

Bimbang juga...

Kerana sering kali membaca 'keindahan' yang digembar-gemburkan, ramai yang berminat untuk mendirikan rumahtangga di usia muda.

Tapi, terlupa menyemak persediaan dari sudut peranan dan tanggungjawab.

Mungkin, jalan yang terbaik, selalulah menghebahkan tentang peranan dan tanggungjawab alam rumah tangga. Bukan hanya sekadar menghebahkan tentang 'bunga-bunga cintanya' sahaja.

Agar, tiada insan yang merasakan, "indah khabar daripada rupa" setelah memasuki alam ini!

Perkahwinan itu tentang pembinaan generasi akan datang.

Perkahwinan itu, bukan hanya soal dua hati yang bercinta. Tapi ia soal pembinaan generasi akan datang!

Dalam keindahan 'bunga-bunga cinta', terselit di dalamnya sejuta tanggungjawab.

Lihatlah, bagaimana ada ulama' yang mentafsirkan kata-kata Saidina Umar al-Khattab ini :

تفقهوا قبل أن تسوّدوا

"Belajarlah, sebelum kamu memimpin"

Ulama' berselisih pendapat dalam mentafsirkan kalimah 'tasawwadu'. Dan dalam penulisan kali ini, saya memilih makna 'tasawwadu' yang ditakrifkan sebagai 'berkahwin'.

"Belajarlah kamu sebelum berkahwin. Kerananya, kamu akan menjadi ketua keluarga. Boleh jadi ia (berkahwin) menjadi penghalang kamu daripada sibuk menuntut ilmu."

Maka, yang jahil akan terus dengan kejahilannya.

Antara saranan yang boleh disimpulkan daripada kata-kata ini;

Pertama, saranan menuntut ilmu atau membuat persediaan sebelum melangkah ke alam ini.
Kedua, cukuplah, kata-kata ini ingin menggambarkan kepada kita, bahawa dalam perkahwinan ini, terselit berjuta peranan dan tanggungjawab.

Buatlah persediaan dari sudut Ilmu. Ilmu asas sebagai seorang Muslim. Ilmu memilih calon suami dan isteri. Ilmu menjadi isteri/suami soleh-solehah. Ilmu menjadi seorang ibu/ayah mithali dan sebagainya.

Persediaan dari sudut ekonomi.
Persediaan dari sudut emosi dan fizikal.
Persediaan dari sudut masa.
Persediaan dari sudut pengurusan rumahtangga.
Dan pelbagai persediaaan lain...

Hakikatnya, persoalan nikah kahwin merupakan satu ketentuan daripada Allah. Persis kematian. Kita tidak tahu bila, tapi ia pasti akan hadir.

Begitulah perkahwinan, kita tidak tahu bila waktunya. Tapi, insyaAllah saatnya pasti akan tiba.

Sentiasalah membuat persediaan ke arahnya.

Semoga Allah memberkati rumahtangga yang dibina, insyaAllah.
No comments

Wednesday, June 25, 2014

Faedah-faedah Ibadah Puasa; Sultanul Ulama' Izz Ibn Abdul Salam r.hm.

Ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah suatu ibadah yang diperintahkan keatas setiap mu'min yang mukallaf. Tanpa mendalami hikmah dan faedah puasa sekalipun, kita tetap wajib melaksanakan perintah ini, namun, ia tidak menafikan untuk kita sebagai ummat yang sentiasa diperintahkan untuk berfikir tentang kebesaran Allah s.w.t. untuk meneliti dan mengkaji rahsia yang tersirat di sebalik perintah yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. ke atas kita.

Imam Izz bin Abdul Salam as-Sulami r.hm (meninggal pada tahun 660 hijrah) yang digelar sebagai Sultanul Ulama, seorang Ulama bermazhab Syafie, berasal daripada Damsyik, Syiria (Syam), berpindah dan menetap di Mesir dan meninggal dunia di sana. Seorang yang zuhud, warak, 'alim, tawadu' dan memiliki kefasihan dalam tutur kata. Beliau banyak menulis buku-buku dalam pelbagai bidang termasuk Tafsir, Usul Fiqh, Qawa'id Fiqhiyyah, Tasawwuf dan lain-lain. Semoga Allah merahmati Sultanul Ulama' Izz bin Abdul Salam r.hm. (Sumber:Syeikh al-Izz bin Abdul Salam, Dr. Ali Muhammad as-Solabi) 

Dalam satu risalah kecil karangan Sultanul Ulama yang diberi tajuk "Maqasid as-Siyam.". Beliau r.hm menggariskan 10 bab sebagai himpunan kepada "Maqasid Siyam" (Tujuan ibadah Puasa). Entri ini hanya memuatkan secara ringkas bab yang kedua yang telah digariskan oleh Beliau r.hm di dalam kitabnya iaitu "Faaedah-faedah daripada puasa."


"Maqasid as-Siyam" cetakan Darul Fikr,Dimasyq

Imam Izz bin Abdul Salam r.hm meletakkan 7 faedah daripada puasa: 

1. Meningkatkan darjat. 
2. Menghapuskan dosa. 
3. Mengekang nafsu syahwat.
4. Membanyakkan sedeqah. 
5. Memperkasakan ketaatan. 
6. Mensykuri tuhan yang maha mengetahui segala perkara yang tersembunyi. 
7. Menghalang daripada lintasan maksiat dan kesalahan. 

1. Meningkatkan Darjat. 

Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya; 

"Apabila datang bulan Ramadhan, maka dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu syaitan." (Riwayat Bukhari & Muslim) 

"Dibuka segala pintu Syurga" bermaksud gambaran yang menunjukkan banyaknya ketaatan yang menyebabkan terbuka pintu-pintu Syurga. 

"Ditutup segala pintu neraka" bermaksud gambaran yang menunjukkan kurangnya kemaksiatan yang menyebabkan pintu-pintu neraka tertutup. 

"Dibelenggu segala syaitan" bermaksud gambaran yang menunjukkan terputusnya gangguan syaitan(Was-was) terhadap orang yang berpuasa kerana mereka tidak termakan dengan tipu daya syaitan ke arah kemaksiatan. 

Di dalam sebuah hadis Qudsi, Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: 

"Setiap amalan anak adam itu adalah baginya kecuali puasa. Sesungguhnya ia terpulang kepada-Ku dan Aku yang membalasnya. Puasa itu perisai, dan apabila seseorang kamu berada pada hari puasa, maka janganlah ia mencarut dan berkelahi. Sekiranya ada orang mencacinya dan memusuhinya, hendaklah ia berkata, sesungguhnya aku sedang berpuasa. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada dalam genggaman-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah pada hari kiamat kelak. Bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan ketika bertemu dengan Tuhannya, ia bergembira dengan puasanya." (Riwayat Muslim) 

"Setiap amalan anak adam ialah baginya kecuali puasa. Sesungguhnya ia terpulang bagi-Ku dan Aku yang membalasnya"  Allah s.w.t. menyandarkan puasa kepada-Nya bagi menunjukkan Idhafah Tasyrif (sandaran untuk memuliakan). 

Hal ini kerana ibadah puasa tidak boleh ada perasaan riyak kerana ia ibadah yang tersembunyi. Rasa lapar dan dahaga tidak dijadikan kaedah mendekatkan diri kepada mana-mana raja di dunia, bahkan tidak dijadikan kaedah mendekatkan diri kepada berhala. 

"Dan Aku yang membalasnya" bermaksud sekalipun Allah s.w.t merupakan Tuhan yang membalas kepada semua amalan ketaatan, namun maksudnya adalah untuk membesarkan ganjaran puasa kerana Dia yang berkuasa menyempurnakannya. 

"Puasa itu perisai" bermaksud puasa merupakan benteng daripada azab Allah. 

▪ Perkataan ar-Rafath dalam hadis bermaksud percakapan yang keji. 

▪ Perkataan as-Sakhab bermaksud perkelahian. 

"Ia hendaklah menjawab, sesungguhnya aku berpuasa" bermaksud memperingatkan dirinya sendiri bahawa ia sedang berpuasa dan menjauhi daripada menyerupai atau melawan(orang yang mencacinya). 

"Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah pada hari kiamat" bermaksud ada perkataan yang mahzuf (tidak disebut tetapi difahami maksunya iaitu: perkataan ثواب yang membawa maksud pahala. 

"Dua kegembiraan" bermaksud pertama kerana ia diberi taufik untuk menyempurnakan ibadah dan kedua kerana ganjaran daripada Allah s.w.t. sekiranya Allah menghendaki ganjaran untuknya. 

Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, maksudnya; 

" Setiap amalan anak adam itu digandakan, satu kebajikan digandakan 10 kali hingga 700 kali ganda. Allah berfirman 'kecuali puasa, sesungguhnya terpulang kepada-Ku, dan Aku yang membalasnya kerana(orang yang berpuasa) itu meninggalkan syahwat dan makanannya semata-mata kerana Allah." (Riwayat Muslim) 

"Meninggalkan syahwat dan makanannya semata-mata kerana aku" bermaksud orang yang berpuasa tatkala dia mengutamakan ketaatan kepada Tuhan berbanding ketaatan kepada nafsunya dalam keadaan nafsunya yang kuat dan akan mengalahkan hawa nafsunya. Allah s.w.t. memberi balasan bahawa ganjaran puasa terpulang kepada-Nya. Sesiapa yang mengutamakan Allah, pasti Allah akan mengutamakannya. Maka seseorang hamba akan berada di kedudukan yang mulia disisi Allah. 

Justeru, sesiapa yang berniat untuk melakukan maksiat, kemudian meninggalkannya kerana takutkan Allah, pasti Allah akan berkata malaikat al-Hafazah (yang menjaga amalan manusia); Tulislah baginya satu kebaikan, kerana dia meninggalkan nafsu syahwatnya kerana takutkan Aku iaitu "semata-mata kerana Aku." 

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya; 

" Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang dinamakan ar-Rayyan, yang mana orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat, dan tiada seseorang pun yang boleh masuk bersama mereka. Diseru, di manakah orang-orang yang berpuasa? Lantas mereka pun masuk melalui pintu tersebut. Apabila orang yang terakhir daripada kalangan mereka masuk, pintu tersebut ditutup, maka tiada seorang pun dapat masuk melaluinya (selepas itu)." (Riwayat Muslim) 

Dalam hadis yang lain, maksudnya; 

"Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ar-Rayyan, yang diseru kepada orang yang berpuasa. Sesiapa yang berpuasa akan masuk melaluinya dan sesiapa yang melaluinya, pasti tidak akan berasa haus selama-lamanya." (Riwayat Tirmizi) 

▪ Mereka dikhususkan masuk syurga melalui pintu ar-Rayyan kerana keistimewaan yang ada dalam ibadah mereka serta kemuliaan ibadah puasa. 

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya; 

"Sesungguhnya orang yang berpuasa, didoakan oleh para malaikat ke atasnya, jika dimakan (ada yang makan) di sisinya sehingga mereka selesai." (Riwayat Tirmizi) 

"Didoakan oleh para malaikat ke atasnya, jika dimakan (ada yang makan) di sisinya sehingga mereka selesai." bermaksud sesungguhnya dia meninggalkan makanan dalam keadaan dia bersama-sama dengan orang lain (yang tidak berpuasa) adalah suatu perbuatan yang sangat menunjukkan kekuatan menahan nafsu. 

Oleh itu, mereka berhak mendapat doa daripada para malaikat ke atas orang yang berpuasa agar mendapat rahmat dan keampunan.


2. Menghapuskan Dosa

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya;

“Bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan menjadi penghapus kepada dosa di antara kedua-duanya selama mana dijauhi dosa besar.” (Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya;

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, pasti diampunkan baginya dosa yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

▪ Makna penuh keimanan adalah beriman sepernuhnya dengan kewajipan puasa dan Ihtisab adalah beribadat semta-mata mengharapkan ganjaran daripada Allah s.w.t.

3. Mengekang Nafsu Syahwat

Maksud mengekang nafsu syahwat ialah lapar dan dahaga boleh mematahkan syahwat kea rah maksiat. Demikian juga sabit hadis sahih daripada Nabi s.a.w. bahawa Baginda s.a.w. bersabda, maksudnya;

“Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu daripada kalangan kamu al-Ba’ah, maka berkahwinlah. Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan melindungi kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa. Sesungguhnya padanya (puasa) ada al-Wija’ (Benteng).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

▪ Al-Ba’ah ialah perkahwinan.

Al-Wija’ ialah memecahkan dua telur (Kasi) haiwan jantan.

Rasulullah s.a.w. membuat perumpamaan peranan puasa yang mengekang nafsu syahwat seperti memukul kedua-dua telur (Kasi) haiwan jantan untuk mengekang syahwatnya.

Dalam hadis yang lain, maksudnya;

“Sesungguhnya syaitan mengalir dalam tubuh anak adam melalui saluran darah.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

▪ Maka sempitkanlah tempat laluannya dengan rasa lapar.

4. Membanyakkan sedeqah

Oleh sebab seseorang yang berpuasa itu berasa lapar, ia mengingatkan dirinya kepada kelaparan, maka ia menggesanya untuk memberi makan kepada orang-orang yang lapar.

Bak pepatah Syair menyebut;

“Maka sesungguhnya hanya orang yang rindu mengasihi mereka yang dirindui.”

Diceritakan bahawa Nabi Sulaiman a.s. atau Nabi Yusuf a.s. tidak akan makan bersama dengan mereka yang mempunyai hubungan dengannya, lalu ditanyakan kepada mereka, lantas mereka menjawab;

“Aku takut apabila aku kenyang, aku akan melupakan mereka yang kelaparan.”

5. Memperkasakan Ketaatan.

Dengan berpuasa, seseorang itu akan mengingati kelaparan dan dahaga ahli neraka, maka dengan mengingatai itu semua mereka bersegera meperbanyakkan kebaikan untuk menyelamatkan dirinya daripada neraka.

6. Mensyukuri nikmat Allah s.w.t. tuhan yang mengetahui segala yang tersembunyi.

Apabila seseorang itu berpuasa, dirinya akan merasai kenikmatan yang dikurniakan Allah s.w.t. kepadanya, samaada kekenyangan mahupun kepuasan (Hilang dahaga). Maka mereka mensyukuri semua itu. Sesungguhnya sesuatu kenikmatan itu tidak dapat dinilai kadarnya melainkan apabila nikmat itu hilang.

7. Menghalang daripada lintasan kemaksiatan dan kesalahan.

Apabila nafsu seseorang itu kenyang, ia akan (mudah) menjuruskan diri kepada kemaksiatan dan cenderung untuk melakukan kesalahan. Dan apabila nafsu merasakan kelaparan dan dahaga, nafsu akan segera mencari makanan dan minuman. Kecenderungan nafsu untuk mencari makanan dan minuman jauh lebih baik daripada sibuk mencari kemaksiatan dan kesalahan.

Oleh yang demikian, Sebahagian Salafus Soleh meletakkan puasa sebagai ibadah utama berbanding ibadah-ibadah lain. Mereka ditanyakan tentang hal tersebut, mereka menjawab “Kerana Allah s.w.t. mengetahui tentang nafsuku. Keadaan nafsuku yang mengajak aku kepada makan dan minum lebih aku sukai untuk diketahui oleh-Nya berbanding keadaan nafsuku yang mengajak aku kepada kemaksiatan ketika aku kenyang.”

Sesungguhnya puasa itu mempunya faedah yang terlalu banyak, seperti kesihatan mental, kesejahteraan tubuh badan.

Dalam sebuah hadis menyebut;

“Berpuasalah, pasti kamu sihat.” (Riwayat Tabarani, Iraqi menyebut bahawa hadis ini Dhaif)

Antara kemuliaan puasa; sesiapa yang memberi makan kepada orang berpuasa (untuk berbuka), baginya ganjaran sebagaimana ganjaran orang yang diberikan makan itu.

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya;

“Sesiapa yang memberi makanan untuk orang berbuka puasa, maka ia akan mendapat (ganjaran) sepertimana ganjaran orang yang berpuasa tanpa mengurangkan sedikit pun ganjaran orang berpuasa tersebut.” (Riwayat Tirmizi)

Sesiapa yang memberi makan 36 orang yang berpuasa pada setiap tahun, seolah-olah di telah berpuasa sepanjang tahun. [Pentahqiq: Kerana setiap kebaikan itu menyamai 10 kebaikan]. Bahkan, sesiapa yang membanyakkan memberi makan kepada orang yang berpuasa dengan niat ini, Allah akan menulis baginya pahala puasa bertahun-tahun lamanya.

Dan antara kemuliaan puasa juga adalah sesiapa yang membangunkan puasa dengan penuh keimanan dan bersungguh-sungguh (Mengharapkan redha Allah), akan diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.
Sabda Nabi s.a.w., maksudnya;

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, pasti diampunkan baginya dosa yang telah lalu.”  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tamat.

Mohon kepada yang membaca, sekiranya ada pembetulan yang perlu, boleh terus sampaikan pada pencatat. muslim_9319@yahoo.com

*Risalah ini telah pernah diterjemah oleh al-Fadhil Ustaz Nik Abdul Rahim bin Nik Abdul Ghani dan telah diterbitkan oleh Telaga Biru dengan tajuk Nikmatnya Puasa.

Semoga Allah memanfaatkan bacaan ini. 

Catatan.
Abdul Hakim Othman
Darul Qurra’.
25 Jun 2014.
27 Sya’ban 1435.


No comments

Sunday, June 15, 2014

Ramadhan : Bulan yang dilimpahi keberkatan.

Di buka pintu Syurga seluas-luasnya.
Di tutup pintu Neraka serapat-rapatnya.
Di belenggu Syaitan-syaitan.
Di bentangkan kebaikan yang banyak.
Di lipat kali ganda ganjaran amalan sehingga 700 kali ganda.
Di doakan para Malaikat orang yang berpuasa.
Di ampunkan dosa mereka yang benar-benar menghidupkan Ramadhan.

Menjadi satu kerugian bagi kita melepaskan peluang yang hadir ini. Mungkin ini peluang terakhir untuk kita bertemu Ramadhan. Manfaatkanlah ramadhan ini dengan sebaiknya.



Kesempatan Ramadhan. Isilah dengan amalan-amalan sunnah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. yang banyak diriwayatkan di dalam hadith-hadith.

Memperbanyakkan bacaan al-Quran samaada bersendirian mahupun berkumpulan.
Melazimi doa dan beristighfar kepada Allah s.w.t. terutama pada waktu sahur dan berbuka.
Memperbanyakkan sedeqah.
Menyegerakan berbuka.
Melewatkan bersahur.
Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan solat Tarawih.
Beriktikaf terutama di 10 malam terakhir.
Bersungguh-sungguh dalam mencari malam lailatul Qadar.

Sesungguhnya ibadah puasa adalah ibadah yang membantu kita memelihara kesihatan hati dan tubuh badan. Menjadi pembantu kepada kita dalam menentang hawa nafsu dan syaitan. Serta menjadi pemangkin dalam mencapai ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (al-Baqarah: 183)

Moga Taqwa milik kita bersama.
No comments